Thursday, 31 January 2013

Maafkanlah

Bismillah...


Ceria pagi ini, mentari pagi perlahan menyinar bumi.. burung bebas terbang dan berkicau.. angin bertiup lembut menghalusi hati pencinta alam.

Indahnya alam. Subhanallah.. Terdetik di hati, bagaimana mereka mampu hidup teratur walau mereka dicipta tanpa akal.. sedang kami manusia yang di cipta dengan akal, hidup penuh kacau bilau dan huru hara.

Mungkin benar, kerana kurangnya kasih sayang. Pabila kasih sayang tiada, rosaklah kehidupan. Pabila sesama hati tidak dihubungkan dengan cinta pada Pencipta dan rindu pada Baginda.

Allahu..Allah.. mudahnya kasih sayang hilang hanya kerana satu kesilapan. Hanya kerana satu kesalahan, segala kebaikan si pesalah seakan luput. Padahal sebelum si pesalah di jatuhkan hukuman sebagai bersalah, dia lah yang paling kita kasihi, kita puja puji, kita sanjung dan hormati.

Sungguh hati manusia ini amat rapuh.. maka benarlah kalamMu wahai Tuhan... manusia ini diciptakan bersifat keluh kesah, pabila kesusahan menimpa dia mengeluh dan pabila memperoleh kebaikan dia amat kikir. Kecuali... bagi mereka yang mengerjakan solat dan tetap mengerjakan solatnya itu.. Allahu Allah~

Mahal benarkah harga sebuah kemaafan? Berharga sangatkah nilai kemaafaan itu wahai hati? Atau yang menghijab kemaafan adalah egomu?

Sedang kau lupa, kau juga manusia biasa. Yang pada suatu waktu, kau pasti sangat membutuhkan kemaafan, yang nanti di akhirnya, kau kan merayu demi diampunkan tiap kesalahanmu. Lupakah kau wahai hati, memaafkan itu adalah lebih mudah dan lebih baik untuk mu. Lupakah kau berapa banyaknya kalam Tuhanmu tentang memaafkan dan kemaafan. Lupakah kau wahai diri bagaimana Rasulullah berjiwa sangat pemaaf dan suka mendamaikan. Allahu Allah...

Kerasnya hati kerana kurangnya kasih sayang. Kerasnya hati kerana mazmumah. Kerasnya hati kerana sering dilukai. Maafkan lah agar kau dimaafkan.. Kemaafan itu bukan untuk mereka, kemaafan itu untukmu.. agar hati mu bebas dari kesakitan yang merantai. Membalas perbuatan keji tidak menambah cinta, hanya membuatmu semakin keras, membuat jiwamu semakin parah, menyimpan kisah lama sbg dendam menjadikan mu lebih buruk dari si pesalah. Maafkanlah dan kembalilah pada Tuhanmu dengan jiwa yang tenang.

Semoga di pagi khamis yang mulia ini, di akhir bulan Januari ini,  kita dapat mencontohi sifat Nabi yang utama. Kita mengaku cinta dan rindu pada Baginda. Maka... demi cintamu itu... maafkanlah... kerana Rasulullah amat pemaaf. Bismillah.. dengan nama Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang.. maafkan lah dan semoga jiwamu, semoga hati mu lunak dengan kasih sayang. Agar nanti, lahir dari mu generasi yang berjiwa mulia. InsyaAllah dengan izin Tuhanmu yang maha lembut, maha kaya, maha pengasih lagi penyayang. Sollu 'ala Rasulillah.. Allahuma Solli Wa Sallim Wa Baarik 'Alaih Wa 'Ala Aalih.

Khamis
19 Rabiul Awwal 1434