Wednesday 27 February 2013

Duhai anak

Bismillahir Rahmaanir Raheem


Dengan Nama Mu Ya Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, aku menulis. Semoga tulisan ini menjadi peringatan buat diri ku sendiri dan juga kepada sesiapa sahaja yang terbacanya~

Di hening waktu dhuha, terngiang-ngiang ayatMu ya Rahman... "wa bil waalidaini ihsaana" yang bermaksud berbuat baiklah kepada orang tua mu.

Sungguh ya Tuhan, ayat itu amat berat.. berat buat setiap anak-anak di dunia ini. Ayat yang menyuruh kita sentiasa berlemah lembut, taat dan kasih pada orang tua, walau orang tua itu sering melukakan, walau apa jua keburukan sang orang tua. Hatta jika orang tua tidak seagama jua, suruhan untuk berbuat baik kepada mereka tetap sudah termaktub. Allah~

Duhai anak-anak yang merasa jauh hati, duhai anak-anak yang sering tersakiti. Marilah kita mengambil contoh kisah seorang anak di zaman Nabi Musa.. Orang tuanya disumpah menjadi khinzir, namun dia tetap berbakti baik pada mereka. Pabila ditanya mengapa si anak masih taat setia, lalu si anak itu menjawab.. Apa jua kesalahan orang tua ku, ia adalah di antara mereka dengan Tuhannya. Namun antara mereka dan aku, aku tetap harus menunaikan hak mereka sebagai orang tua ku.

Cuba letakkan diri kita di tempat si anak itu. Mampukah kita tetap berlaku baik pada orang tua setelah orang tua kita disumpah menjadi khinzir? Mungkin kita akan merasa jijik? Mungkin kita akan merasa ahhh itu mustahil... 

Senario lain pula. Bayangkan jika kita dibesarkan dalam keluarga yang pincang, ibu ayah tidak memperhatikan kita. Ibu ayah sering menyakiti zahir dan batin kita. Cuba pula letakkan diri kita di tempat anak-anak yang terbuang, yang membesar tanpa secicip kasih bonda ayahanda... Mampukah kita tetap berlaku baik pada orang tua kita? Mampukah kita menjadi orang yang besar hatinya untuk memberi kemaafan kepada mereka? Mampukah kita beramal dengan kalam Tuhan itu? Tepuk dada tanyalah iman.

Ingatlah wahai anak-anak yang disisihkan.. Apa jua kesilapan ayah bonda, andai tiada mereka, tiada jugalah kamu di dunia ini. Sehodoh mana kisah mu, usahlah kamu hodohkan pula dirimu dengan menjadikan kesakitan sebagai asbab untuk menyakiti orang lain. Semoga Allah menyembuhkan hati kalian duhai anak-anak yang kurang segalanya. Usah lupa untuk sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu ayah. Pabila kamu mendoakan kebaikan orang lain, sebenarnya kamu sedang mendoakan untuk dirimu sendiri juga. Ingatlah.. Allah dan Rasul lebih lebih lebih lagi sayangkanmu dari kedua orang tuamu.

Pabila kita merasa kurang, lihatlah anak-anak pejuang di Bumi Anbiya' itu. Pabila merasa lelah, ingatlah.. Allah hanya ingin menguj untuk meningkatkan dirimu. Teruskan mencari ilmu dan iman, serta beradab sopan pada Tuhan dan sesama manusia. Berkat kesolehanmu, ibu ayahmu akan berbahagia. Itulah setitis budi untuk membalas kebaikan ibu serta ayahmu. 

Maka jika Allah dan Rasul mencintaimu, apa lagi yang kurang dari hidupmu? Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan.. Bersyukurlah~

Marilah berselawat, moga dilembutkan hati untuk mencontohi peribadi mulia Rasul kita, yang sangat cintakan ummatnya.. Aameen. Allahumma Solli Wa Sallim Wa Baarik 'Alaihi Wa 'Ala Aaleh :') 


Pagi Rabu Yang Cerah
16 Rabiul Akhir 1434 Hijrah




Thursday 7 February 2013

Hakikat Malu

Bismillah...


Rasa malu yang mampu menjaga. Malu yang bagaimana? Adakah hanya sekadar di bibir? Atau seperti istilah malu malu kucing?

Malu yang disarankan adalah malu utk berbuat yang tidak tidak. Malu terhadap sesuatu yang bukan untuk kita. Malu terhadap kemungkaran.

Malu bukan hanya pabila di khalayak ramai, malu tika sendirian, tika tiada siapa melihat kita. Malu untuk membayangkan sesuatu yang salah.

Malu bukan sekadar pada zahirnya. Itulah malu sebenar malu. Malu luar dan dalam. Malu yang dikatakan sebahagian dari iman. Sesuai dgn pesan Baginda bahawa siapa yang tidak ada rasa malu, buatlah apa yang disukainya.

Semoga di bulan kelahiran Nabi ini, kita mampu menyemai benih hayah dan menyiram taqwa di dalam hati. Lalu terzahir pada kelakuan dan diri.

Semoga menjadi peribadi muslim lalu menjadi mukmin yang benar dan dapat ditingkatkan menjadi muttaqin. Yakinlah bahawa pertolongan Allah hanya pada orang yang menolong Allah dan RasulNya.

Semoga kita dapat memiliki rasa malu seperti Baginda. Sifat Baginda yang lebih pemalu dari gadis pingitan. Sollu 'ala Habeeb. Allahumma Solli Wa Sallim Wa Baarik 'Alaih Wa 'Ala Aaleh~

Khamis, 26 Rabiul Awwal 1434

Monday 4 February 2013

Nikmat rasa yang hilang

Bismillah...


Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan... ketika diberi nikmat dia bersyukur, ketika diuji dia bersabar... segalanya adalah didikan dariMu wahai Tuhan..

Sangkanya, aku sudah bertemu bahagiaku. Hakikatnya..  nikmat merasa itu belum hadir di hatiku. Nikmat yang satu itu seakan sudah ditarik. Allah~

Apakah hati ini sudah mati? Atau jiwa ini telah kering? Atau perasaan ini telah layu? Apakah sekian banyak luka telah membunuh setiap rasa ataukah kerana maksiat yang seluas lautan?

Wahai Tuhan yang maha lembut, Wahai Cinta dan Rinduku... Lembutkanlah hati ini agar dapat merasai kehadiranMu.. aku hambaMu ya Allah yang sangat memerlukanMu dalam setiap lena dan jagaku~ Sollu 'Ala Rasulillah...



23 Rabiul Awwal 1434

Thursday 31 January 2013

One .. Two.. Three... Smile!




Smile (^_^)



Tersenyumlah depan rezki =)




Maniskan senyuman tika membantu :)




 Kerana akhlak itulah bunga diri :')









Maafkanlah

Bismillah...


Ceria pagi ini, mentari pagi perlahan menyinar bumi.. burung bebas terbang dan berkicau.. angin bertiup lembut menghalusi hati pencinta alam.

Indahnya alam. Subhanallah.. Terdetik di hati, bagaimana mereka mampu hidup teratur walau mereka dicipta tanpa akal.. sedang kami manusia yang di cipta dengan akal, hidup penuh kacau bilau dan huru hara.

Mungkin benar, kerana kurangnya kasih sayang. Pabila kasih sayang tiada, rosaklah kehidupan. Pabila sesama hati tidak dihubungkan dengan cinta pada Pencipta dan rindu pada Baginda.

Allahu..Allah.. mudahnya kasih sayang hilang hanya kerana satu kesilapan. Hanya kerana satu kesalahan, segala kebaikan si pesalah seakan luput. Padahal sebelum si pesalah di jatuhkan hukuman sebagai bersalah, dia lah yang paling kita kasihi, kita puja puji, kita sanjung dan hormati.

Sungguh hati manusia ini amat rapuh.. maka benarlah kalamMu wahai Tuhan... manusia ini diciptakan bersifat keluh kesah, pabila kesusahan menimpa dia mengeluh dan pabila memperoleh kebaikan dia amat kikir. Kecuali... bagi mereka yang mengerjakan solat dan tetap mengerjakan solatnya itu.. Allahu Allah~

Mahal benarkah harga sebuah kemaafan? Berharga sangatkah nilai kemaafaan itu wahai hati? Atau yang menghijab kemaafan adalah egomu?

Sedang kau lupa, kau juga manusia biasa. Yang pada suatu waktu, kau pasti sangat membutuhkan kemaafan, yang nanti di akhirnya, kau kan merayu demi diampunkan tiap kesalahanmu. Lupakah kau wahai hati, memaafkan itu adalah lebih mudah dan lebih baik untuk mu. Lupakah kau berapa banyaknya kalam Tuhanmu tentang memaafkan dan kemaafan. Lupakah kau wahai diri bagaimana Rasulullah berjiwa sangat pemaaf dan suka mendamaikan. Allahu Allah...

Kerasnya hati kerana kurangnya kasih sayang. Kerasnya hati kerana mazmumah. Kerasnya hati kerana sering dilukai. Maafkan lah agar kau dimaafkan.. Kemaafan itu bukan untuk mereka, kemaafan itu untukmu.. agar hati mu bebas dari kesakitan yang merantai. Membalas perbuatan keji tidak menambah cinta, hanya membuatmu semakin keras, membuat jiwamu semakin parah, menyimpan kisah lama sbg dendam menjadikan mu lebih buruk dari si pesalah. Maafkanlah dan kembalilah pada Tuhanmu dengan jiwa yang tenang.

Semoga di pagi khamis yang mulia ini, di akhir bulan Januari ini,  kita dapat mencontohi sifat Nabi yang utama. Kita mengaku cinta dan rindu pada Baginda. Maka... demi cintamu itu... maafkanlah... kerana Rasulullah amat pemaaf. Bismillah.. dengan nama Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang.. maafkan lah dan semoga jiwamu, semoga hati mu lunak dengan kasih sayang. Agar nanti, lahir dari mu generasi yang berjiwa mulia. InsyaAllah dengan izin Tuhanmu yang maha lembut, maha kaya, maha pengasih lagi penyayang. Sollu 'ala Rasulillah.. Allahuma Solli Wa Sallim Wa Baarik 'Alaih Wa 'Ala Aalih.

Khamis
19 Rabiul Awwal 1434